Reka bentuk kulit hadapan Laporan Tahunan Bersepadu 2024 KWAP menampilkan jam pasir yang melambangkan peredaran masa dan kepentingan perancangan jangka panjang. Melambangkan era pendigitalan masa kini, jalur litar bercahaya bergerak menelusuri jam pasir dan menerangi gambaran yang berlatarbelakangkan keluarga berbilang generasi. Gambaran ini melambangkan anugerah yang paling berharga dalam kehidupan iaitu keluarga, perhubungan dan masa yang diluangkan bersama. Selain itu, latar belakang kulit buku ini memaparkan suasana kediaman yang selamat dan persekitaran hidup yang kondusif. Ini memaparkan peranan KWAP dalam melindungi masa hadapan kewangan para pesara dan keluarga mereka dengan memastikan kestabilan dan keselamatan mereka dalam setiap fasa kehidupan.
Dengan penuh sukacita, saya membentangkan Laporan Tahunan Bersepadu 2024 Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP]. Tahun ini merupakan tahun penting buat kami, dengan pencapaian yang luar biasa bukti dedikasi pasukan kami dan kekukuhan hala tuju strategik organisasi. KWAP menutup tirai 2024 dengan merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM18.01 bilion, yang menyumbang kepada pulangan keseluruhan sebanyak 12.0%.
KWAP mencatat salah satu prestasi pelaburan terbaik setakat ini yang menjadikan tahun ini antara tahun yang paling cemerlang dalam sejarah KWAP. Pencapaian hebat ini didorong oleh usaha penyeimbangan semula portfolio pelaburan, keputusan alokasi aset yang tepat pada masanya, serta penerokaan berterusan ke dalam pasaran swasta.
Selaras dengan komitmen kami ke arah masa hadapan yang mampan, KWAP telah merangka lima Ikrar Kemampanan yang mencerminkan pendekatan holistik dan bertanggungjawab terhadap kelestarian. Ikrar ini bukan sahaja merangkumi aspek alam sekitar, malah turut menekankan teras sosial dan tadbir urus bagi meletakkan KWAP sebagai pemimpin pemikiran dalam amalan kemampanan.